Minggu 7 - Frasa Adjektif Bahasa Melayu
Frasa adjektif dalam bahasa Melayu mempunyai elemen kata yang terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mewakili kata sifat atau kata adjektif sebagai kata intinya. Hal yang demikian membuktikan bahawa kepelbagaian elemen kata sifat atau kata adjektif memberikan impak dalam pembentukan frasa adjektif yang berfungsi sebagai predikat dan juga unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat.
Harus dijelaskan bahawa kata adjektif yang hadir selepas kata kerja disebut sebagai keterangan. Sementara, kata adjektif yang hadir selepas kata nama disebut sebagai penerang. Dalam perbincangan ini, kita akan melihat pola-pola frasa adjektif yang berkaitan dengan binaan frasa, kata penguat dan kata bantu dalam frasa. Selain itu, unsur pengisi yang wujud dalam frasa adjektif akan dibincangkan juga dalam tajuk frasa adjektif bahasa Melayu ini.
Anda perlu mengetahui bahawa, kandungan isi untuk topik ini meliputi huraian tentang konsep frasa adjektif berdasarkan pendapat ahli-ahli bahasa. Frasa adjektif dalam bahasa Melayu terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mewakili kata sifat atau kata adjektif sebagai kata intinya. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif berfungsi sebagai predikat.
7.1 Binaan Frasa Adjektif : Unsur Pengisi Frasa Adjektif
Frasa adjektif ialah frasa yang terdiri daripada kata adjektif sebagai unsur intinya. Frasa adjektif bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa adjektif boleh terdiri daripada satu kata adjektif atau beberapa kata yang mengandungi kata adjektif dengan kata bantu dan penguat sama ada dihadapan atau di belakangnya. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu dan penguat sebagai binaan dan unsur pengisian dalam frasa adjektif.
Contoh :
(1) . Wak Samad sudah terlalu tua
Dalam ayat (1) [Wak Samad] merupakan subjek frasa nama yang diikuti oleh predikat frasa adjektif.
Dalam binaan predikat, [sudah + terlalu + tua] merupakan predikat yang terbina daripada unsur-unsur berikut :
[kata bantu + penguat + kata adjektif]
Unsur pengisi dalam frasa adjektif juga dapat dilihat dalam contoh-contoh di bawah:
Kata Bantu
|
Penguat
|
Kata Adjektif
|
Penguat
|
sudah
-
belum
masih
-
|
terlalu
sangat
-
terlalu
amat
|
tua
prihatin
masak
awal
baik
|
-
-
benar
-
-
|
Dalam contoh-contoh di atas, kata bantu boleh hadir bersama-sama penguat hadapan mendahului kata adjektif. Namun, penguat juga boleh hadir sama ada di belakang atau di belakang kata adjektif. Bentuk sedemikian boleh berubah-ubah berdasarkan rumus tatabahasa dan pola dalam ayat berkaitan.
7.1.1 Binaan Kata Adjektif Satu Perkataan
Binaan jenis ini merupakan asas kepada pembentukan frasa adjektif yang menggunakan satu kata adjektif dalam ayat.
Contoh:
(2) . Salim sangat rajin.
(3) . Guru pelatih itu cergas
(4) . Dia kelihatan ceria.
(5) . Penglihatannya kabur.
(6) . Tanamannya subur.
7.1.2 Binaan Kata Adjektif Dua Perkataan
Binaan dua perkataan adjektif merupakan asas kepada pembentukan frasa adjektif yang menggunakan dua kata adjektif dalam ayat
Pola binaannya boleh terdiri daripada yang berikut:
(i) kata adjektif + kata adjektif (unsur keserasian makna)
contoh :
letih lesu
cantik molek
lemak manis
penat lelah
(i) kata adjektif + kata adjektif (makna berlawanan)
contoh:
jatuh bangun
hidup mati
baik buruk
susah senang
pahit maung
7.2 Penguat
- Kata penguat boleh hadir dalam frasa adjektif berdasarkan jenis-jenisnya. Terdapat tiga jenis penguat:
(i) Penguat hadapan
(ii) Penguat belakang
(iii) Penguat bebas
- Penguat hadapan merupakan kata yang terletak di hadapan kata adjektif.
Penguat hadapan terdiri daripada kata terlalu dan paling.
Contoh:
(7) . Rumahnya terlalu besar.
(8) . Lukisan itu paling cantik.
- Penguat belakang pula merupakan kata yang terletak di belakang kata adjektif sepertisekali, benar, nian
(9) . Pakaian puteri itu cantik sekali.
(10) . Kereta lembu itu lambat benar.
(11) . Taman Bunga di istana itu indah nian.
- Penguat bebas ialah perkataan yang kedudukannya bebas, iaitu boleh hadir di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat dan sungguh.
(12) . Kubah masjid itu amat besar.
(13) . Gerakan dan gaya pesilat Malaysia tangkas sungguh.
Unsur penguat yang hadir berderetan sebelum kata adjektif juga wujud dalam binaan frasa adjektif. Contoh : sungguh amat, terlalu amat, seperti dalam ayat-ayat berikut:
(14). Percakapan orang tua itu sungguh amat kasar .
(15). Perangai anaknya terlalu amat sopan.
7.3 Kata Bantu Dalam Frasa Adjektif
Kata bantu merupakan unsur yang boleh hadir dalam frasa adjektif. Ada kata bantu tertentu yang boleh hadir sebelum atau sesudah penguat. Frasa adjektif jelasnya boleh disertai oleh kata bantusudah, belum, masih, harus berdasarkan kesesuaian konteks ayat.
Contoh:
(16). Anaknya sudah besar.
(17). Sayur-sayuran dikebun itu masih belum subur.
(18). Pekerja yang berkualiti harus cekap.
Terdapat juga kata bantu yang boleh hadir sebelum atau selepas penguat, misalnya: masih amat jauh, belum terlalu lewat, belum sangat cekap, sungguh masih muda, sungguh telah pandai
Contoh:
(19). Kedudukan khemah itu masih amat jauh.
(20). Kehadiran pelajar itu belum terlalu lewat.
(21). Pekerja baru itu belum sangat cekap.
(22). Anak sulungnya itu sungguh masih muda.
(23). Pelajar kelas peralihan itu sungguh telah pandai.
0 komen:
Post a Comment